PETIKAN

Ulama mahir agama, beramal dengan ilmunya.

TANPA dapat nafikan, masyarakat hari ini masih tidak kenal siapa
sebenarnya yang boleh dipanggil sebagai ulama - golongan yang menjadi
pewaris nabi. Ada pandangan mengatakan ulama adalah individu yang
mempunyai ilmu dalam bidang agama.


Ini bermakna, untuk menjadi ulama, seseorang tidak perlu mendalami ilmu
akademik lain, sebaliknya mencukupi dalam bidang agama saja, terutama ilmu
fekah, tauhid, hadis dan bahasa Arab.


Pandangan ini bertentangan dengan pihak yang beranggapan ulama adalah
kalangan yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam apa jua bidang dan
bukannya dikhususkan kepada bidang agama.


Pada mereka, jurutera, doktor, ahli perniagaan dan sesiapa pun boleh
diiktiraf sebagai ulama asalkan mereka mempunyai ilmu dalam bidang masing-
masing. Mereka berhujah sedemikian berasaskan asal perkataan ulama, iaitu
alim yang bererti orang mempunyai pengetahuan mendalam.
Satu lagi pandangan ialah pandangan sama dengan pandangan kedua dan
ditambah pula dengan syarat mendalami ilmu agama.


Justeru, pada mereka ulama sebenar adalah seseorang yang menguasai ilmu
ukhrawi dan duniawi serentak. Dalam hal ini, mereka membariskan tokoh
ilmuwan dan cendekiawan Muslim sebagai contoh ulama sebenar seperti Ibn
Sina, al-Khawarizmi, al-Farabi dan Ibn Kind.
Bagaimanapun, pandangan golongan ini disanggah dan didakwa tidak sesuai
kerana ketika ini amat sukar bagi mencari individu yang menguasai kedua-
dua ilmu itu.


Jelas di sini, kekaburan masyarakat masih ketara dalam mengenal pasti
gerangan yang benar-benar layak dipanggil ulama pewaris nabi.
Malah, dalam pada mereka mengiktiraf seseorang sebagai ulama, adakah
sikap dan amalan ulama itu memenuhi kriteria ulama sebenar seperti mana
digariskan al-Quran dan sunnah? Soalnya, adakah ulama itu melaksanakan
kewajipan mengikut ajaran agama?


Ini kerana ketika ini, ada individu digelar ulama tetapi tindakan mereka
masih bertentangan dengan falsafah dan kedudukan ulama sebenar.
Buktinya, individu yang didakwa itu masih melakukan kemungkaran,
menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi atau politik dan
tidak membawa pengikut ke arah kebaikan.
Krisis identiti ulama bukan saja berlaku pada zaman mutakhir ini, malah
perkara sama berlaku pada zaman awal kebangkitan Islam, terutama selepas
kewafatan Rasulullah saw.


Ketika itu, timbul pelbagai golongan berhaluan kiri yang diketuai
pemimpin atau ulama masing-masing seperti kumpulan Khawarij, Jabariah dan
Qadariah. Mereka membawa fahaman masing-masing sehingga ada yang
mencetuskan pertelingkahan dan permusuhan di kalangan umat Islam.
Justeru, bagi mengelak sejarah pahit perpecahan ummah itu berulang, satu
seminar dianjurkan di Kangar baru-baru ini bagi memperjelaskan kedudukan
sebenar sebagai ulama.


Seminar Antarabangsa Ulama Pewaris Nabi yang diadakan di Dewan Warisan
Perlis ternyata menjawab segala kekeliruan itu apabila satu kenyataan
bersama dikeluarkan mengenai kedudukan sebenar ulama. Seminar itu
dianjurkan Kerajaan Perlis, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kehadiran tokoh ulama antarabangsa pada seminar berkenaan sedikit-
sebanyak membantu merapatkan kembali umat Islam yang rata-rata berbeza
pandangan mengenai ulama. Melalui seminar itu, ulama ditakrifkan sebagai
seseorang yang menguasai bidang pengajian Islam dengan mendalam dan
beramal dengan ilmu dipelajarinya.


Paling mustahak, ia berjaya menggariskan kriteria yang membolehkan
seseorang dipanggil ulama, iaitu menguasai ilmu agama dan bahasa Arab
dengan mendalam, takutkan Allah, beramal dengan ilmu dan menyampaikan
secara bijaksana, mengutamakan balasan akhirat, tidak mengkafirkan sesama
Islam, menolak budaya ekstrem dan menerima konsep kesederhanaan serta
menganjurkan perdamaian di antara ulama dan umara (pemerintah).
Jelaslah, mana-mana pihak yang mengiktiraf seseorang ulama terlebih dulu
diminta meneliti ciri ini, sama ada ia ada pada ulama mereka. Jika tidak,
mereka tidak boleh sesekali mengiktiraf seseorang sebagai ulama,
sebaliknya manusia awam yang tidak mempunyai martabat di sisi agama. Ini
kerana Islam mengiktiraf ulama sebagai golongan yang diberikan kedudukan
istimewa berbanding manusia biasa.


Ia bertepatan dengan ayat 11 dalam surah al-Mujadalah di mana Allah
mengangkat martabat seseorang yang berilmu, iaitu ulama, dengan satu
darjat berbanding golongan lain. Dalam hadis pula, ulama diumpamakan
bintang di langit yang menjadi pedoman manusia daripada kegelapan malam.
Justeru, bolehkah seseorang mendewa-dewakan seseorang lain dengan
gelaran ulama andainya ulama itu kerap melakukan kesilapan, termasuk
melemparkan kata-kata kesat kepada orang lain atau menyesatkan manusia
dengan fahaman menyimpang daripada landasan agama?
Umum mengetahui, ada individu yang didakwa ulama bebas mengeluarkan
fatwa bahawa golongannya saja yang benar dan layak memasuki syurga,
sebaliknya sesiapa yang tidak menyokong atau mengikutinya akan menempah
tiket ke neraka!


Ketua Pengarah Ikim, Datuk Abdul Munir Yaacob, ketika membentangkan
kertas kerja pada seminar itu menegaskan ulama sebenar ialah mereka yang
beramal dengan ajaran agama dan tidak menggadaikan ilmu untuk menyesatkan
manusia.


Katanya, jika agama dijadikan bahan pertaruhan untuk menarik sokongan
masyarakat kepada mereka, maka tindakan itu bukan menggambarkan ciri
sebenar sebagai ulama salih, sebaliknya ulama su' atau ulama jahat.
Ulama su' adalah ulama yang merosakkan ummah dan agama serta berniat
jahat untuk menyesatkan orang lain dengan dakyah songsang serta
bertentangan dengan ajaran Islam.


Beliau berkata, kewujudan ulama pada hakikatnya bukan untuk
menghancurkan manusia, sebaliknya sebagai petunjuk yang boleh membawa
kepada kebaikan. Malah, sumbangan ulama diperlukan bagi membangunkan
negara.


"Sesungguhnya kita harus menerima hakikat bahawa kelemahan dan kelesuan
suara dan tindakan kita sebenarnya disebabkan kegagalan kita pada hari ini
menguasai ekonomi yang berasaskan ilmu dan teknologi.
"Dalam konteks inilah pentingnya ulama memainkan fungsi secara berkesan,
khususnya sebagai ilmuwan yang mewarisi fungsi dan keilmuan anbia. Mereka
seharusnya memandu masyarakat ke arah memulihkan kekuatan dan perpaduan
ummah bagi membolehkan kita menjadi umat yang menguasai ilmu dan teknologi
serta ekonomi dan mampu memartabat Islam dan mempertahankannya daripada
sebarang bentuk penindasan oleh mana-mana pihak," katanya.

--------------------------------

KAHERAH: Kerajaan mesti bijak menangani isu agama di Malaysia kerana kalau silap menanganinya ia akan berlaku perselisihan kaum atau penganut agama di negara kita.

Demikian ditegaskan oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato' Noh Omar semasa berucap di majlis ramah mesra dengan 34 orang pemimpin pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Al-Azhar, Mesir baru-baru ini.

Katanya, "Negara kita kini menghadapi cabaran beragama antara penganut pelbagai agama. Semua penganut agama menuntut agar mereka diberi kebebasan sepenuhnya untuk melaksanakan program penyebaran agama mereka kepada sesiapa sahaja rakyat Malaysia."

Sedangkan Perlembagaan Malaysia, menurut Noh, walaupun memberi kebebasan kepada semua agama menjalankan kegiatan agama masing-masing, tetapi perlembagaan juga menetapkan bahawa agama lain selain daripada agama Islam tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang-orang Islam.

Dato' Noh menyoal "kenapa isu sensitif ini berani dituntut oleh penganut agama lain?" Sebabnya menurut Dato' Noh, "mereka sedar bahawa mereka juga ada hak dan kerajaan yang menguasai pemerintahan Malaysia masa kini bukan lagi diterasi oleh orang Melayu (Islam)."

"Inilah akibatnya jika orang kita (Melayu) masih tidak mahu bersatu, maka banyak hak-hak keistimewaan kita telah dicabar dan dituntut sama oleh orang lain,'' tegasnya.

Dato' Noh yang juga Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara bersama 10 ahli rombongan dari Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam rangka lawatan kerja ke Mesir selama tiga hari untuk membuat kajian pelaksanaan undang-undang Islam di Mesir.

DATO' NOH dan rombongan dari JAKIM turut mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Abu Bakar Daud (kiri) ketika lawatan selama 3 hari di sana. 
Semasa di Mesir, beliau dan rombongan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Counsellor Seri Seyam, Assistant to the Minister of Justice For Legislation Affairs dan Mufti Mesir, Dr. Farid Wasiel.

Seramai 34 orang pemimpin pelajar terdiri daripada Ketua dan Setiausahanya hadir. Mereka terdiri daripada kepimpinan PMRAM, ABIM Cawangan Mesir, Nadi UMNO Mesir, NUIM (M) dan BAKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri). Turut sama dalam perjumpaan di Rumah Malaysia tersebut ialah pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Mesir.

Dalam ucapan dan dialog bersama kepimpinan pelajar tersebut, Dato' Noh menjelaskan kerajaan kita memang serius untuk mengatasi isu-isu berkaitan dengan kemajuan agama Islam seperti pelaksanaan undang-undang Islam ke atas orang Islam yang keluar daripada agama Islam.

Menurutnya, memang ada orang Islam di Malaysia yang keluar daripada agama Islam (murtad) tetapi kebanyakan mereka terdiri daripada orang bukan Islam yang menganbut agama Islam dan Orang Asli. Setelah mereka "kecewa" atas sebab-sebab tertentu, maka mereka mengambil tindakan meninggalkan Isslam dan menganut agama asal mereka.

Tetapi menurut Dato' Noh, orang Islam (orang Melayu) kalau adapun murtad, bilangannya tidaklah seramai angka yang digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu. Malah kalau kita lihat orang bukan Islam "masuk" (menganut) agama Islam, bilangannya begitu ramai jika dibandingkan dengan orang Islam yang keluar daripada agama Islam.

Untuk mengatasi orang-orang Islam yang murtad ini, kerajaan sudahpun melaksanakan pelbagai pendekatan. Antaranya mereka ini dihantar ke pusat pemulihan aqidah dan kerajaan juga kini telah mengadakan program-program khas bagi menangani masalah tersebut.

Dalam ucapannya juga, beliau mengingatkan tentang bahayanya kalau Melayu (Islam) terlepas kuasa politiknya kepada orang lain (bukan Islam) kerana ketika itu jangan harap lagi soal-soal pembangunan agama Islam akan diberi perhatian dan pembelaan oleh mereka seperti hari ini.

Cabaran kepada agama khususnya di masa hadapan, menurut Dato' Noh ialah mereka mesti melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama yang mencukupi dan mereka juga mesti memahami keadaan sebenar untuk menangani hal-hal agama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia. - Buletin JPMK 2002, 1-15 Januari 2002.

[Lain-lain Petikan]

oooooooooooooo

[MUKA UTAMA] [BERITA KELAB] [SEJARAH NUMRAM] [PETIKAN]

[ORGANISASI] [ALBUM AKTIVITI] [SEULAS BICARA] [ARTIKEL] [IKLANEKA]

 [MAKLUMBALAS]

 

Hakcipta Terpelihara © 2002 Kelab UMNO Malaysia Republik Arab Mesir