Pelajar
terperangkap dalam ghetto Pas
Bicara
Agama Oleh Astora Jabat
Seorang pelajar Malaysia yang menuntut
di cawangan Universiti Al-Azhar di Damanhour, Mesir membentangkan satu soalan
kepada penulis dengan berkata bahawa apakah penulis menentang Universiti
Al-Azhar? Pelajar berkenaan mengajukan soalan itu dalam majlis ramah mesra yang
diadakan minggu lalu antara pelajar Malaysia yang menuntut di Damanhour dengan
Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman dan rombongan.
Tidak dapat diketahui dengan tepat
kenapa pelajar berkenaan bertanyakan soalan itu kepada penulis.
Mungkin kerana penulis selalu
mengkritik beberapa ulama mereka yang pernah menuntut di Universiti Al-Azhar
seperti Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebabkan dia
menyangka penulis menentang universiti tertua Mesir itu. Ini barangkali sama
dengan sesetengah orang Pas yang menganggap sesiapa sahaja yang mengutuk Pas
sebagai mengkritik Islam.
Sebenarnya jika pelajar itu ada sedikit
semangat ingin tahu dan sanggup membuat penyelidikan, dia akan mengetahui bahawa
orang-orang tertentu yang pernah mendapat pendidikan agama di Universiti
Al-Azhar seperti Nik Aziz atau mendapat pendidikan agama di
universiti-universiti Islam yang lain mengkritik universiti itu dengan tujuan
baik.
Ini kerana di satu pihak kritikan
mereka itu bertujuan untuk membela nama baik institusi Al-Azhar dan di pihak
yang lain pula bertujuan membela nama baik ulama-ulama tanah air daripada
dicemari fahaman agama karut-marut ulama politik Pas itu. Al-Azhar dan
ulama-ulamanya pun jika mereka mengetahui bahawa Nik Aziz mendakwa Tuhan pun
mencarut, samseng, jahat, sombong dan zalim, mereka akan marah dan mengutuk Nik
Aziz.
Penulis memberi penjelasan mengenai
soalan yang dibentangkan oleh pelajar itu bahawa penulis tidak menentang
Universiti Al-Azhar. Sebaliknya penulis kagum dan menghormati Universiti
Al-Azhar dan ulama-ulama besarnya serta menganggap diri penulis juga pengikut
Al-Azhar dari segi budaya dan ilmu walaupun penulis tidak pernah menuntut di
universiti besar Islam itu. Ini kerana ulama-ulama dan kitab-kitab yang menjadi
rujukan penulis dalam pemikiran Islam moden adalah semuanya produk Al-Azhar.
Pada pandangan penulis, Universiti
Al-Azhar merupakan universiti yang lebih berwibawa dan lebih hebat daripada
mana-mana universiti Islam di negara-negara Arab.
Kata-kata penulis itu tidak boleh
dianggap taksub kepada Universiti Al-Azhar kerana penulis tidak pernah menuntut
di universiti yang dianggap menjadi menara penyebaran ilmu agama ke seluruh
dunia itu. Sebaliknya boleh dianggap penulis taksub jika penulis menganggap
Universiti Kouraoiyine (Al-Qurawiyin) di Fez, Maghribi sebagai universiti lebih
berwibawa dan lebih hebat berbanding universiti-universiti Islam di
negara-negara Arab kerana penulis berkelulusan daripada universiti tertua di
dunia itu.
Tetapi penulis berkata begitu kerana
penulis menyedari bahawa Universiti Al-Azhar memang lebih berwibawa dan lebih
hebat daripada mana-mana universiti Islam di negara-negara Arab.
Menjadi perkara biasa mereka yang
berkelulusan universiti-universiti Islam di negara-negara Arab lain mempunyai
pandangan yang berbeza dengan penulis dan mungkin mereka menganggap
universiti-universiti Islam mereka lebih berwibawa dan lebih hebat daripada
Universiti Al-Azhar.
Tetapi penulis yang tinggal selama
lebih 20 tahun di negara-negara Arab dan pernah membuat kajian tentang
universiti-universiti Islam di negara-negara berkenaan serta pernah melawat
kebanyakan universiti itu tetap menganggap Universiti Al-Azhar lebih berwibawa
dan lebih hebat sekurang-kurang pada waktu sekarang. Ini bukan kerana penulis
mahu merendah-rendahkan kedudukan universiti-universiti Islam di negara-negara
Arab lain, tetapi hakikatnya begitu.
Kenapa dan apa alasan yang menyebabkan
penulis menganggap Universiti Al-Azhar lebih berwibawa dan lebih hebat.
Jawapannya ialah kerana Universiti
Al-Azhar lebih tua daripada universiti-universiti Islam di negara-negara Arab
lain berbanding Universiti Kouraoiyine di Maghribi. Ia memberi pendidikan agama
yang bersifat terbuka berbanding universiti-universiti Islam yang lain.
Pengajiannya pula berdasarkan kepada
ajaran pelbagai mazhab. Ulama-ulama besar yang terkenal di Mesir dan seluruh
intelektual dunia Islam pada zaman ini juga kebanyakan merupakan produk Al-Azhar
dan ulama-ulamanya juga yang menjadi guru kepada negara-negara Islam. Selain itu
Al-Azhar juga bukan saja memberi perhatian kepada pendidikan agama, tetapi ia
juga memberi perhatian kepada pendidikan dunia di mana kursus perubatan,
pertanian, kejuruteraan, persuratkhabaran dan lain-lain turut diajar di
fakulti-fakultinya.
Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte
(1769-1821) ketika melancarkan kempen penjajahan ke atas Mesir pada abad ke-18
dulu memahami betapa pentingnya Universiti Al-Azhar. Beliau didakwa pernah
berkata bahawa mana-mana negara yang mahu menguasai Mesir dan negara-negara
Islam lain mesti menguasai Al-Azhar. Kerana percaya begitu, Bonaparte mengambil
tindakan mendampingi Al-Azhar dan ulama-ulamanya.
Malah dia dikatakan sampai ke peringkat
berpura-pura memeluk Islam untuk menjayakan matlamat menguasai Al-Azhar itu.
Jika pergi lebih jauh dari itu kita
akan dapati bahawa orang Barat pada abad pertengahan dulu pergi menuntut ilmu di
Al-Azhar seperti ramai daripada kita pergi menuntut di universiti-universiti
Barat kini.
Pada zaman itu sesiapa yang memiliki
sijil daripada Al-Azhar dipandang sama hebat dengan pemilik sijil dari
Universiti Harvard dan Universiti Oxford pada zaman ini.
Itulah kewibawaan dan kehebatan
Universiti Al-Azhar berbanding dengan universiti-universiti Islam yang lain.
Bagaimanapun, kelebihan Universiti
Al-Azhar itu tidak memberi faedah kepada ramai pelajar Malaysia kini terutama
yang berada dalam ghetto Pas. Ramai pelajar Malaysia yang berada dalam ghetto
Pas itu nampaknya tidak mempunyai hubungan budaya dan ilmu dengan Al-Azhar
kecuali dalam bentuk yang sangat mendatar.
Sebagai contoh, Al-Azhar menganjurkan
fahaman agama pelbagai mazhab. Pelajar Malaysia dalam ghetto Pas tidak melihat
fahaman lain sebagai benar benar kecuali yang dalam kepompong parti mereka saja.
Al-Azhar juga menganjurkan pemikiran
terbuka dan toleransi, tetapi para pelajar Malaysia dalam ghetto Pas berfikiran
tertutup dan tidak toleransi.
Penulis berasa kasihan kepada para
pelajar Malaysia yang terperangkap dalam ghetto Pas. Mereka yang datang dari
kampung dengan pengetahuan yang sedikit mengenai agama akan kembali nanti dalam
keadaan tidak begitu berbeza dengan waktu mereka mula meninggalkan kampung dulu.
Mereka tidak dapat mengembangkan pengetahuan disebabkan terperangkap dalam
ghetto Pas itu. Lebih teruk lagi ialah apabila mereka menjadi mangsa ghetto Pas
jika tidak lulus pengajian pula.
Akhir sekali penulis ingin jelaskan
bahawa pelajar Malaysia yang berfikir tertutup, sempit dan tidak toleransi hanya
berlaku di kalangan penuntut Al-Azhar yang terperangkap dalam ghetto Pas.
Para pelajar Al-Azhar lain tidak membawa mentaliti seperti pelajar Malaysia yang berada dalam ghetto Pas. Penulis banyak berbincang dengan pelajar Al-Azhar dari Mesir, negara-negara Arab lain, Indonesia, Thailand, Filipina dan lain-lain, tetapi jarang ada yang menjadi macam orang baru keluar penjara setelah bertahun putus hubungan dengan dunia luar.
[Petikan Seterusnya]
oooooooooooooo
[MUKA UTAMA] [BERITA KELAB] [SEJARAH NUMRAM]
[ORGANISASI] [ALBUM AKTIVITI] [SEULAS BICARA] [ARTIKEL] [IKLANEKA]
[PETIKAN] [MAKLUMBALAS]