PETIKAN

Syria kagumi Malaysia

Dasar luar Malaysia yang realistik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyebabkan imej Malaysia di luar negara cukup disenangi terutama di Syria.

Kalangan rakyat, ahli perniagaan dan para pemimpinnya menyifatkan Malaysia sebagai model negara Islam. Cerita-cerita mengenai kejayaan Malaysia selalu diperkatakan - daripada urusan jemaah haji Malaysia yang dipuji kerana begitu terurus dan tertib sehinggalah kepada kejayaan dalam ekonomi, dasar luar yang realistik dan ketokohan Dr. Mahathir.

Menteri Penerangan Syria, Dr. Adnan Omran ketika ditemu bual menghabiskan masa lebih 10 minit pada awal perbualannya menyatakan rasa kagum terhadap Malaysia.

``Biarpun kita jauh, Syria merasa dekat dengan Malaysia. Kita merasakan Malaysia walaupun bukan dari kalangan kelompok Arab adalah negara Islam contoh yang tidak boleh dipertikaikan lagi oleh dunia Islam.

``Malaysia selalu menjadi rujukan utama kepada kami,'' katanya.

Bagi kedutaan dan rakyat Malaysia di Damsyik, itulah penghormatan yang turut mereka terima daripada semua pihak di Syria.

``Imej Malaysia cukup tinggi di sini,'' kata Duta Malaysia, Datuk Abdullah Sani Omar yang merupakan duta pertama negara di Syria. Kedutaan Malaysia di Damsyik dibuka pada tahun lalu. Sebelum itu, sejak tahun 2000, Malaysia diwakili oleh Konsul Kehormat, Samil Alkour yang kini masih lagi ditugaskan untuk membantu kedutaan.

Bangunan kedutaan Malaysia terletak sebaris dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Iraq dan China di Abu Rumanah iaitu kawasan tumpuan kedutaan asing. Walaupun masih baru membuka kedutaan, Malaysia kini merupakan negara paling menonjol mendapat perhatian terutama daripada kementerian-kementerian dan agensi kerajaan Syria.

Antara episod awal kepada rancangan pembukaan kedutaan Malaysia di Syria ialah lawatan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar ke Damsyik pada Jun 2000. Ini diikuti pertemuan dan perbincangan dua hala antara Dr. Mahathir dan Presiden Syria, Bashar Al Assad pada sidang kemuncak Persidangan Pertubuhan Negara Islam (OIC) di Doha, Qatar pada Oktober tahun tersebut yang membuka dimensi baru kepada hubungan kedua-dua negara.

Selain, Syed Hamid, lawatan Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd. Khalil Yaakob ke Syria pada akhir tahun lalu turut merapatkan lagi hubungan di peringkat menteri kabinet dan kementerian.

Setakat ini, terdapat 278 rakyat Malaysia di Syria, kebanyakannya adalah pelajar yang mengambil pelbagai jurusan terutamanya Syariah. Jumlah tersebut mungkin tidak besar jika dibandingkan dengan jumlah rakyat Malaysia di Mesir, Arab Saudi dan Jordan tetapi mereka yang tinggal di Syria merasa gembira.

``Syria adalah sebuah negara yang selamat, harmoni dan mesra kepada orang asing,'' kata Abdullah Sani kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Sebagai perintis kepada hubungan rasmi antara kedua-dua negara menerusi penubuhan kedutaan Malaysia, Abdullah Sani dengan dibantu oleh Samir dan kakitangan kedutaan, cukup sedar peranan besar yang perlu dimainkan bagi mempromosi banyak perkara mengenai Malaysia. Antara usaha mereka yang telah berhasil atas kerjasama kedua-dua negara ialah Malaysia menjadi satu-satunya negara dari Asia yang tidak memerlukan visa untuk ke Syria.

``Hubungan kita dan Syria meskipun agak baru dalam konteks pembukaan kedutaan, ia sudah menampakkan hasil yang memberangsangkan dan persefahaman yang ditunjukkan amat tinggi,'' kata Abdullah Sani.

Menurut beliau, syarikat-syarikat di Malaysia harus mengambil peluang untuk melabur dalam pelbagai bidang di negara tersebut pada ketika hubungan kedua-dua negara berada pada tahap baik dan Syria begitu mengagumi Malaysia.

Katanya, ekonomi Syria kini semakin terbuka dan menampakkan potensi besar untuk berkembang di bawah dasar liberalisasi yang diperkenalkan oleh Bashar. Setakat ini, Kesatuan Eropah dan negara-negara Eropah lain lebih banyak menguasai eksport ke Syria dengan nilai sebanyak AS$937 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2002.

Malaysia boleh muncul sebagai pengeksport utama dari Asia kepada Syria pada masa depan dan pada masa ini bilateral perdagangan antara kedua-dua negara lebih memihak kepada Kuala Lumpur. Beberapa produk Malaysia seperti barangan elektrik selain kereta nasional seperti Proton Wira sudah mendapat tempat di negara berkenaan.

``Kestabilan politik di Syria merupakan satu lagi tarikan kepada pelabur dalam mencari pasaran masa depan,'' katanya.

Syria yang kaya dengan sumber semula jadi dan pertanian seperti minyak, gas, emas, gandum, kapas dan buah-buahan juga boleh menjadi pintu masuk untuk pasaran di Asia Barat kerana kedudukan yang berjiran dengan beberapa negara antaranya Iran, Turki, Jordan, Lebanon dan Iraq. Kedudukannya yang strategik menjadikan Syria sejak zaman lampau terkenal sebagai pusat perdagangan dan kebudayaan yang menghubungkan antara Timur dan Barat.

Sebagai salah sebuah negara tertua di dunia, Syria juga menawarkan tarikan dalam bidang pelancongan terutama bagi umat Islam. Di Damsyik, terdapat banyak kawasan yang menjadi ziarah umat Islam seperti makam beberapa Nabi, makam Salahuddin Al-Ayubi, makam para sahabat dan masjid-masjid terkenal termasuk Al-Umawi serta seni bina Islam zaman lampau.

Di pihak Syria, negara itu telah pun mengorak langkah untuk menimba pengalaman Malaysia dalam bidang teknologi maklumat dan latihan menerusi kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Dr. S. Jazaerli, Penasihat kepada Perdana Menteri Syria, berkata, kerjasama itu sedang digerakkan untuk membolehkan Syria juga dapat membangunkan kedua-dua bidang itu sebagai pendekatan strategiknya untuk memacu kemajuan.

``Setakat ini, proses kepada kerjasama itu berjalan dengan baik dan kerajaan Syria amat berpuas hati dan gembira untuk belajar dari Malaysia,'' katanya.

Difahamkan, Perdana Menteri, Dr. Mahathir dijangka melawat Syria pada Ogos depan dan akan merasmikan program kerjasama itu sebagai salah satu daripada program lawatannya nanti. Sekiranya lawatan itu menjadi kenyataan, ia pasti akan merangsang kerjasama politik dan ekonomi yang lebih besar.

``Kami amat mengharapkan lawatan Perdana Menteri anda ke bumi Syria,'' kata Jazaerli.

Menurut Abdullah Sani, pihak kedutaan sedang menumpukan kepada beberapa perkara termasuk untuk mewujudkan pejabat Penerbangan Malaysia di sini selain berusaha mendapatkan penerbangan terus yang boleh memanfaatkan lagi hubungan peringkat negara, ahli perniagaan dan rakyat.

Mengenai penerbangan terus, Samil pula berkata, kemudahan itu penting kerana rakyat Malaysia yang mahu ke Syria pada masa ini mengambil masa lebih 20 jam kerana tempoh transit yang lama di Dubai atau Doha sedangkan penerbangan sebenar cuma memakan sekitar lapan jam.

Beliau percaya dengan adanya penerbangan terus, lebih ramai rakyat Syria akan turut melawat Malaysia yang kini merupakan destinasi pilihan popular sejak beberapa tahun lalu. Katanya, pada tahun 2001, sebanyak 18,000 rakyat Syria berkunjung ke Malaysia berbanding cuma 3,000 orang pada tahun 2000.

``Malah semakin ramai rakyat Syria tertarik untuk menikmati percutian bulan madu di Malaysia tetapi masalah mereka ialah tiada penerbangan terus,'' katanya lagi.

Samir juga mencadangkan supaya pelabur dari Malaysia melabur dalam bidang IT dan juga penubuhan universiti swasta yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan di Syria.

``Malaysia perlu menjadi negara awal untuk merebut segala peluang pelaburan di negara ini sekali gus dapat menjana kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara,'' katanya dengan menambah bahawa kos pekerja di Syria adalah rendah berbanding negara serantau.

Dalam hubungan ini, beliau berpendapat Malaysia dan Syria mempunyai beberapa persamaan terutama dasar luar yang realistik dan kestabilan politik. Keyakinan terhadap Syria itu juga dikongsi bersama oleh golongan pelajar Malaysia.

``Syria sememangnya sebuah negara yang selamat dan menjanjikan masa depan yang baik kepada semua sama ada dari segi ilmu hinggalah kepada peluang ekonomi,'' kata Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Syria, Mohd. Idrus Ahmad.

Dua lagi pelajar, Abdullah Sani Abdul Latiff dan Mohd. Zubairi Ghazali berpendapat persekitaran di Syria amat sesuai untuk mereka belajar dan melalui kehidupan yang tenang.

Mohd. Idrus dan dua rakannya itu juga memuji Kedutaan Malaysia terutama di bawah kepimpinan Abdullah Sani yang sentiasa bersikap proaktif dan mendampingi pelajar Malaysia terutama ketika pencerobohan AS ke atas Iraq dan Syria kini ditekan oleh AS.

Bukan sahaja di kalangan pelajar dan kakitangan kedutaan, Abdullah Sani dengan gandingan Samir juga disenangi oleh kalangan kementerian dan agensi kerajaan serta diplomat asing di Damsyik.

``Pada kami, anda mempunyai duta dan konsul kehormat yang kuat bekerja dan sentiasa sensitif kepada keperluan meningkatkan hubungan kedua-dua negara. Kami tidak menghadapi masalah dengan Malaysia,'' kata Dr. Adnan.

Tetapi bagi Abdullah Sani, tugas berat kini menanti kedutaan dalam membawa lonjakan kepada hubungan kedua-dua negara selepas ini termasuk dalam bantuan moral kepada Syria yang kini ditekan oleh AS dan berdepan dengan ancaman dasar Zionisme Israel.

``Kita sedia menjadi sahabat kepada Syria sama ada ketika senang atau susah,'' katanya.

Beliau percaya Syria akan terus menikmati kebebasan dan kedaulatan sebagai sebuah negara di sebalik gembar-gembur AS akan mengenakan pelbagai tekanan dan kemungkinan tindakan ketenteraan ke atas negara itu.

``Syria mempunyai pendirian realistik dan konsisten yang perlu difahami oleh dunia,'' katanya lagi.

Jurucakap negara Syria, Bouthaina Saaban memberikan komen ringkas mengenai keprihatinan yang ditunjukkan oleh masyarakat dunia terutamanya Malaysia kepada Syria dalam detik-detik sebegini.

``Terima kasih kerana begitu memahami dan memberikan sokongan moral kepada Syria, semoga kita sama-sama dapat mempertahankan kedaulatan negara-negara Islam walau apa dugaan sekalipun.'' - Utusan

 



                     

MUKA UTAMA

  EKSKLUSIF

ARKIB

FOUR PAGES

ARTIKEL

ALUMNI

SENARAI KELAB 

BUKU TAMU

MAKLUMBALAS 

NUMRAM

Seulas Bicara

Sejarah

Organisasi

MAIL & SMS SITES

Yahoo !

Hotmail

ICQ Mail

Sms.ac

1rstwap

MAKLUMAT

Al-Azhar

Waktu Solat

Audit Zakat

SPA

Tukaran Wang

Maklumat Egypt

Bicarasufi

Suluk Online

Al-Ahkam Online

Check Bill Telefon

 

 

 

 

 

 

Hakcipta TerpeliharaŠ 2002 Kelab UMNO Malaysia Republik Arab Mesir