Pelajar terperangkap dalam ghetto Pas

Bicara Agama Oleh Astora Jabat

Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di cawangan Universiti Al-Azhar di Damanhour, Mesir membentangkan satu soalan kepada penulis dengan berkata bahawa apakah penulis menentang Universiti Al-Azhar? Pelajar berkenaan mengajukan soalan itu dalam majlis ramah mesra yang diadakan minggu lalu antara pelajar Malaysia yang menuntut di Damanhour dengan Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman dan rombongan.

Tidak dapat diketahui dengan tepat kenapa pelajar berkenaan bertanyakan soalan itu kepada penulis.

Mungkin kerana penulis selalu mengkritik beberapa ulama mereka yang pernah menuntut di Universiti Al-Azhar seperti Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebabkan dia menyangka penulis menentang universiti tertua Mesir itu. Ini barangkali sama dengan sesetengah orang Pas yang menganggap sesiapa sahaja yang mengutuk Pas sebagai mengkritik Islam.

Sebenarnya jika pelajar itu ada sedikit semangat ingin tahu dan sanggup membuat penyelidikan, dia akan mengetahui bahawa orang-orang tertentu yang pernah mendapat pendidikan agama di Universiti Al-Azhar seperti Nik Aziz atau mendapat pendidikan agama di universiti-universiti Islam yang lain mengkritik universiti itu dengan tujuan baik.

Ini kerana di satu pihak kritikan mereka itu bertujuan untuk membela nama baik institusi Al-Azhar dan di pihak yang lain pula bertujuan membela nama baik ulama-ulama tanah air daripada dicemari fahaman agama karut-marut ulama politik Pas itu. Al-Azhar dan ulama-ulamanya pun jika mereka mengetahui bahawa Nik Aziz mendakwa Tuhan pun mencarut, samseng, jahat, sombong dan zalim, mereka akan marah dan mengutuk Nik Aziz.

Penulis memberi penjelasan mengenai soalan yang dibentangkan oleh pelajar itu bahawa penulis tidak menentang Universiti Al-Azhar. Sebaliknya penulis kagum dan menghormati Universiti Al-Azhar dan ulama-ulama besarnya serta menganggap diri penulis juga pengikut Al-Azhar dari segi budaya dan ilmu walaupun penulis tidak pernah menuntut di universiti besar Islam itu. Ini kerana ulama-ulama dan kitab-kitab yang menjadi rujukan penulis dalam pemikiran Islam moden adalah semuanya produk Al-Azhar.

Pada pandangan penulis, Universiti Al-Azhar merupakan universiti yang lebih berwibawa dan lebih hebat daripada mana-mana universiti Islam di negara-negara Arab.

Kata-kata penulis itu tidak boleh dianggap taksub kepada Universiti Al-Azhar kerana penulis tidak pernah menuntut di universiti yang dianggap menjadi menara penyebaran ilmu agama ke seluruh dunia itu. Sebaliknya boleh dianggap penulis taksub jika penulis menganggap Universiti Kouraoiyine (Al-Qurawiyin) di Fez, Maghribi sebagai universiti lebih berwibawa dan lebih hebat berbanding universiti-universiti Islam di negara-negara Arab kerana penulis berkelulusan daripada universiti tertua di dunia itu.

Tetapi penulis berkata begitu kerana penulis menyedari bahawa Universiti Al-Azhar memang lebih berwibawa dan lebih hebat daripada mana-mana universiti Islam di negara-negara Arab.

Menjadi perkara biasa mereka yang berkelulusan universiti-universiti Islam di negara-negara Arab lain mempunyai pandangan yang berbeza dengan penulis dan mungkin mereka menganggap universiti-universiti Islam mereka lebih berwibawa dan lebih hebat daripada Universiti Al-Azhar.

Tetapi penulis yang tinggal selama lebih 20 tahun di negara-negara Arab dan pernah membuat kajian tentang universiti-universiti Islam di negara-negara berkenaan serta pernah melawat kebanyakan universiti itu tetap menganggap Universiti Al-Azhar lebih berwibawa dan lebih hebat sekurang-kurang pada waktu sekarang. Ini bukan kerana penulis mahu merendah-rendahkan kedudukan universiti-universiti Islam di negara-negara Arab lain, tetapi hakikatnya begitu.

Kenapa dan apa alasan yang menyebabkan penulis menganggap Universiti Al-Azhar lebih berwibawa dan lebih hebat.

Jawapannya ialah kerana Universiti Al-Azhar lebih tua daripada universiti-universiti Islam di negara-negara Arab lain berbanding Universiti Kouraoiyine di Maghribi. Ia memberi pendidikan agama yang bersifat terbuka berbanding universiti-universiti Islam yang lain.

Pengajiannya pula berdasarkan kepada ajaran pelbagai mazhab. Ulama-ulama besar yang terkenal di Mesir dan seluruh intelektual dunia Islam pada zaman ini juga kebanyakan merupakan produk Al-Azhar dan ulama-ulamanya juga yang menjadi guru kepada negara-negara Islam. Selain itu Al-Azhar juga bukan saja memberi perhatian kepada pendidikan agama, tetapi ia juga memberi perhatian kepada pendidikan dunia di mana kursus perubatan, pertanian, kejuruteraan, persuratkhabaran dan lain-lain turut diajar di fakulti-fakultinya.

Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte (1769-1821) ketika melancarkan kempen penjajahan ke atas Mesir pada abad ke-18 dulu memahami betapa pentingnya Universiti Al-Azhar. Beliau didakwa pernah berkata bahawa mana-mana negara yang mahu menguasai Mesir dan negara-negara Islam lain mesti menguasai Al-Azhar. Kerana percaya begitu, Bonaparte mengambil tindakan mendampingi Al-Azhar dan ulama-ulamanya.

Malah dia dikatakan sampai ke peringkat berpura-pura memeluk Islam untuk menjayakan matlamat menguasai Al-Azhar itu.

Jika pergi lebih jauh dari itu kita akan dapati bahawa orang Barat pada abad pertengahan dulu pergi menuntut ilmu di Al-Azhar seperti ramai daripada kita pergi menuntut di universiti-universiti Barat kini.

Pada zaman itu sesiapa yang memiliki sijil daripada Al-Azhar dipandang sama hebat dengan pemilik sijil dari Universiti Harvard dan Universiti Oxford pada zaman ini.

Itulah kewibawaan dan kehebatan Universiti Al-Azhar berbanding dengan universiti-universiti Islam yang lain.

Bagaimanapun, kelebihan Universiti Al-Azhar itu tidak memberi faedah kepada ramai pelajar Malaysia kini terutama yang berada dalam ghetto Pas. Ramai pelajar Malaysia yang berada dalam ghetto Pas itu nampaknya tidak mempunyai hubungan budaya dan ilmu dengan Al-Azhar kecuali dalam bentuk yang sangat mendatar.

Sebagai contoh, Al-Azhar menganjurkan fahaman agama pelbagai mazhab. Pelajar Malaysia dalam ghetto Pas tidak melihat fahaman lain sebagai benar benar kecuali yang dalam kepompong parti mereka saja.

Al-Azhar juga menganjurkan pemikiran terbuka dan toleransi, tetapi para pelajar Malaysia dalam ghetto Pas berfikiran tertutup dan tidak toleransi.

Penulis berasa kasihan kepada para pelajar Malaysia yang terperangkap dalam ghetto Pas. Mereka yang datang dari kampung dengan pengetahuan yang sedikit mengenai agama akan kembali nanti dalam keadaan tidak begitu berbeza dengan waktu mereka mula meninggalkan kampung dulu. Mereka tidak dapat mengembangkan pengetahuan disebabkan terperangkap dalam ghetto Pas itu. Lebih teruk lagi ialah apabila mereka menjadi mangsa ghetto Pas jika tidak lulus pengajian pula.

Akhir sekali penulis ingin jelaskan bahawa pelajar Malaysia yang berfikir tertutup, sempit dan tidak toleransi hanya berlaku di kalangan penuntut Al-Azhar yang terperangkap dalam ghetto Pas.

Para pelajar Al-Azhar lain tidak membawa mentaliti seperti pelajar Malaysia yang berada dalam ghetto Pas. Penulis banyak berbincang dengan pelajar Al-Azhar dari Mesir, negara-negara Arab lain, Indonesia, Thailand, Filipina dan lain-lain, tetapi jarang ada yang menjadi macam orang baru keluar penjara setelah bertahun putus hubungan dengan dunia luar.

[Petikan Seterusnya]

oooooooooooooo

[MUKA UTAMA] [BERITA KELAB] [SEJARAH NUMRAM

[ORGANISASI] [ALBUM AKTIVITI] [SEULAS BICARA] [ARTIKEL] [IKLANEKA]

[PETIKAN] [MAKLUMBALAS]